Friday, 10 November 2017

Aku Guru POL

Dalam beberapa hari tersebut, aku berada dalam keadaan tertekan. Aku berada dalam dilema andainya aku akan dipaksa membuat pilihan pencen awal ataupun keluar daripada POL dan menjadi guru biasa. Sudah hampir tiga tahun aku memegang status POL. Aku merasakan keadaan kesihatan aku masih belum mengizinkan untuk memegang amanah sebagai guru biasa. Perkara yang paling aku takuti adalah jika aku tidak dibenarkan mengajar sambil duduk.

Jika mengajar sambil berdiri, akan memberi tekanan pada otot perut. Ia akan meyebabkan kesakitan. Sering juga aku jatuh pengsan apabila terlalu kerap turun naik tangga, mengajar sambil berdiri dan bercakap dengan kuat.

Aku bertuah kerana pada tahun ini, aku diberi tugas untuk mengajar satu kelas Tingkatan Empat. Pelajar-pelajar kelas tersebut berdisplin dan menurut kata. Mereka amat memahami keadaan diri aku. Daripada sikap mereka, aku dapat merasakan yang mereka menyayangi aku sepertimana aku menyayangi mereka. Ada kalanya, mereka terlalu manja. Aku menggalas tugas seorang ibu dan bapa mereka di sekolah. Mereka boleh saja datang kepada aku untuk mengadu apa saja masalah.


Aku hanya diberi tugas untuk mengajar satu kelas sahaja memandangkan aku masih memegang status guru POL. Aku mengajar mereka dengan menggunakan bantuan peralatan moden seperti LCD dan pembesar suara yang dibeli dengan duit poket sendiri. Aku juga tidak perlukan tenaga yang banyak untuk mengawal kelas dan aku mampu mengajar mereka sambil duduk tanpa perlu berdiri. Ini dapat mengelakkan aku daripada menahan sakit dan jatuh rebah di dalam kelas sepertimana semasa aku belum mendapat status POL.

No comments:

Post a Comment