Sunday, 3 December 2017

Travelog ke Brunei

Brunei?

Ada apa dengan Brunei?

Memang ramai yang tertanya-tanya apabila kali ini aku memilih untuk meneruskan langkahku ke Brunei.
Seperti biasa, aku memilih negara Brunei kerana faktor jarak di mana aku tidak perlu berada di perut kapal terbang dalam tempoh masa yang lama. Perjalanan hanya memakan masa lebih kurang 2 jam sahaja.

Tujuan aku ke Brunei adalah untuk merehatkan fikiran yang tertekan dengan tindakan daripada pihak tertentu. Pada waktu yang sama, aku terpaksa timbangkan faktor kesihatan fizikal yang berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Kali ini aku ke Brunei tanpa suami tercinta di sisi, sebaliknya bersama dua orang kakak dan anak dara kesayangan kami.
Agak mengecewakan apabila di saat-saat akhir, jadual penerbangan kami ditunda lewat 1 jam dan pintu untuk pelepasan juga ditukar. Amat memenatkan apabila kami terpaksa berjalan kaki pada jarak yang jauh untuk pergi ke gate pelepasan yang baru.

Pada ketika aku mendapat tahu pintu pelepasan kami ditukar, aku baru sahaja hendak meletakkan kepala bagi menghilangkan rasa mengantuk dalam surau lapangan terbang sementara menunggu waktu solat Subuh. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh anak dan kakak dengan nada cemas, mengarahkan aku bangun dan bergegas menuju ke pintu pelepasan yang betul. Jarak ke pintu pelepasan yang baru agak jauh dan membuatkan kami tercungap-cungap  keletihan.

Jadual penerbangan kami ditunda dari jam 6.20 pagi ke jam 7.20 pagi. Kelewatan ini disebabkan oleh faktor cuaca buruk.
Pada waktu tersebut, hujan sedang lebat. Kapal terbang kami berlegar-legar dalam waktu yang agak lama sebelum berlepas. Pada masa itu aku sudah merasa cuak. Jika diikutkan hati, ingin sahaja aku turun dari kapal terbang dan pulang ke rumah.


No comments:

Post a Comment